Artikel

Artikel 1:

Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia : Harapan Dan Cabaran
Oleh SIDANG EDITOR

Profesor Madya Datuk Dr. Hj. Mohamad Ali Hasan merupakan Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN). Beliau adalah antara individu penting dalam membantu Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) menyediakan keperluan pendidikan terbaik untuk para pelajar. Bagi mendapatkan pandangan beliau tentang Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013 – 2025 yang baru dilancarkan, Sidang Editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual beliau.


“Pada pandangan saya, setiap pembaharuan yang dibuat perlu diberikan ruang dan peluang dalam pelaksanaannya. Saya seorang yang terbuka dan sedia memberikan laluan untuk kementerian membuktikan keberkesanannya. Pada dasarnya, kita berhasrat untuk melahirkan murid yang berfikir, mampu berfikir mengenai perkara yang bernilai tinggi dan rajin membaca. Jadi, perubahan yang dilakukan ini merupakan pendekatan yang baik serta memberikan penekanan kepada sistem pendidikan yang menarik dan seronok. Dengan cara ini, murid dapat berkongsi pandangan dan pendapat sama ada pandangan kritikal atau sesuatu yang membina hasil daripada daya fikir mereka sendiri. Hal ini akan memberikan ruang inovasi untuk pembinaan jati diri dalam diri mereka. Saya percaya bahawa kaedah ini berupaya menghasilkan murid yang berfikiran matang dan dapat membuat keputusan semasak- masaknya berdasarkan sumber yang ada. Jika kita imbas semula, sistem pendidikan terdahulu berorientasikan peperiksaan 100 peratus. Mungkin melalui PBS ini, kita memperuntukkan 40 peratus dikhaskan untuk penilaian berterusan dan baki peratusan itu diperuntukkan untuk peperiksaan. Hal ini membolehkan murid belajar dan berfikir secara berterusan. Maka, sudah tentu hal ini merupakan satu perkembangan yang positif. Saya juga berpendapat bahawa perubahan sistem pendidikan ini dapat mengurangkan sikap murid yang cenderung belajar pada saat- saat akhir sebelum peperiksaan. Murid kita akan belajar secara berterusan dan bukan hanya menunggu apabila waktu peperiksaan semakin hampir.”

– Profesor Madya Datuk Dr. Hj. Mohamad Ali Hasan

Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, November 2012


Artikel 2 :

Pemartabatan Bahasa Melayu : Pelaksanaan Dan Pengisian.


Oleh SIDANG EDITOR


Profesor Emeritus Abdullah Hassan merupakan antara sarjana yang gigih memperjuangkan peranan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar pendidikan demi memandaikan rakyat. Beliau terlibat dalam aktiviti kebahasaan yang membawa impak secara langsung atau tidak langsung kepada pembinaan atau pengembangan bahasa kebangsaan dalam kalangan masyarakat dan negara. Beliau antara tokoh bahasa yang turut berjuang menggesa Kementerian Pelajaran Malaysia memansuhkan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Bagi mendapatkan pandangan beliau tentang martabat bahasa kebangsaan, baru-baru ini Sidang Editor Dewan Bahasa berkesempatan menemu bual beliau.




“Apabila kita berbicara tentang perancangan bahasa, kita perlu memahami dua isu. Pertama berkaitan taraf bahasa yang telah diletakkan di bawah Akta 152 Perlembagaan Persekutuan serta konsep mekanik yang wujud dalam bahasa tersebut. Taraf bahasa Melayu yang telah ditetapkan dalam perlembagaan tidak akan berubah malah akan terus kekal dan tidak boleh dipertikaikan lagi. Konsep teknikal dalam bahasa Melayu, seperti ejaan, sebutan, kosa kata, istilah dan tatabahasa telah sedia ada sebelum DBP ditubuhkan lagi. Walau bagaimanapun, DBP telah melaksanakan tugasnya dengan membuat pembaikan dalam setiap konsep teknikal bahasa tersebut, bermula dengan ejaan sehinggalah penghasilan kamus yang merakamkan pelbagai kosa kata bahasa Melayu di dalamnya.

Isu kedua pada tahap perancangan bahasa ialah pengisian. Kita perlu mengisi ruangan yang telah sedia ada itu untuk mengekalkan kewujudan bahasa Melayu dalam sejarah yang agung. Kita perlu membuat pengisian ini untuk menyebarluaskan ilmu kepada masyarakat. Kemajuan sesuatu bangsa itu berdasarkan ilmu dan teknologinya. Penghasilan buku atau hasil terjemahan amat penting untuk mengukur tahap kemajuan minda dan intelektual bangsa dalam sesebuah negara. Jika tiada buku yang dihasilkan oleh para cendekiawan dan golongan cerdik pandai, bagaimanakah kita dapat melahirkan bangsa berilmu? Tambahan lagi, buku yang kita perkatakan ini bukanlah buku cerita mahupun novel. Sebaliknya, buku yang terkandung di dalamnya pelbagai bidang ilmu yang ada di dunia. Kita mendukung peranan untuk “memandaikan bangsa”. Oleh itu, pengisian ilmu perlu dilakukan dengan sebaik mungkin.”

– Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan


Rencana ini dipetik daripada Dewan Bahasa, Oktober 2012.


No comments:

Post a Comment